Pimpinan Media Prima disusun, orang kanan Najib ketuai NSTP hadapi PRU

The Malaysian Insider – Thu, Oct 13, 2011Oleh Jahabar Sadiq dan G Manimaran
KUALA LUMPUR, 13 Okt — Penyusun strategi media Datuk Seri Najib Razak, Abdul Jalil Hamid dijangka akan mengetuai New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mulai Isnin ini dalam usaha Umno menyusun semula unit-unit media miliknya menjelang pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan awal tahun depan.
Pengumuman penting mengenai urusan itu dijangka diumumkan hari ini susulan satu mesyuarat diadakan semalam.
Difahamkan itu akan disusuli dengan perubahan dalam pasukan editorial menjelang akhir bulan ini.
“Saya jangka akan ada pengumuman penting hari ini, lembaga pengarah akan membuat hari ini… itu yang saya dengar setakat malam ini,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
NSTP antara lain mengeluarkan New Straits Times, New Sunday Times, Berita Harian, Berita Minggu dan Harian Metro serta Metro Ahad.
The Malaysian Insider juga difahamkan selain perubahan dalam NSTP, satu lagi akhbar harian yang ada kaitan dengan Umno, Malay Mail, sedang mengadakan perbincangan dengan untuk mendapatkan berita daripada portal berita MalaysiaKini di bawah urusan pertukaran saham dalam tabloid berkenaan.
Malay Mail pernah berada dalam penguasaan NSTP dan kemudian muncul sebagai akhbar percuma.
MalaysiaKini, yang beroperasi sejak 1999, berminat untuk mengeluarkan akhbar dan telah mengemukakan saman ke atas Kementerian Dalam Negeri berhubung isu mendapatkan permit pengeluaran.
Kedua-dua syarikat media mempunyai rancangan untuk melancarkan semula Malay Mail sebagai akhbar berbayar sebelah pagi mulai 11 November ini manakala New Straits Times pula akan membawa reka bentuk yang baru.
Difahamkan pengarang urusan kumpulan NSTP Datuk Zainul Ariffin Mohammed Isa akan kembali mengetuai unit e-Media untuk memfokus usaha meletakkan lebih banyak kandungan atas talian.
Juga difahamkan, Media Prima Berhad (MPB) telah bersetuju dengan pendekatan “pemisahan bersama” membabitkan ketua pegawai eksekutif NSTP Datuk Anthony @ Firdauz Bujang.
Usaha mendapatkan pengesahan pengurusan MPB telah gagal.
MPB juga memiliki TV3 dan tiga saluran televisyen yang lain.
Jawatannya disusun semula menjadi ketua pegawai operasi dan dijangka diambil alih oleh Mohammad Azlan Abdullah, yang kini merupakan ketua pegawai eksekutif Big Tree Outdoor Sdn Bhd milik MPB.
“Keputusan dibuat pada mesyuarat lembaga pengarah semalam. Kedua-dua MPB dan telah bersetuju bahawa beliau boleh keluar tetapi kejutan yang sebenar ialah mengeluarkan Zainul Arifin mulai Sabtu ini,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Sumber itu memberitahu bahawa mesyuarat lembaga pengarah telah dipercepatkan bagi membolehkan tindakan-tindakan berkenaan diambil segera.
Beberapa sumber lain mengesahkan pelantikan-pelantikan baru dengan menjadi bahan percakapan di NSTP bahawa Jalil akan mengambil alih syarikat akhbar itu, yang kini merupakan anak syarikat MPB.
“Apa yang kami dengar di Balai Berita ialah Jalil Hamid, bekas kakitangan Reuters dan bekas Suruhanjaya Sekuriti, akan menjadi pengarang urusan baru kumpulan,” kata seorang editor akhbar itu kepada The Malaysian Insider.
Satu lagi sumber mengesahkan bahawa hanya dua perubahan dibuat dalam mesyuarat lembaga pengarah semalam dan pengarah urusan kumpulan MPB Datuk Amrin Awaluddin dijangka memberi taklimat kepada pekerja-pekerja NSTP hari ini berhubung perubahan besar dalam jawatan tertinggi syarikat.
Anthony mengambil alih jawatan itu pada November 2008 manakala Zainul Arifin mengetuai pasukan editorial sejak Julai 2009.
Jalil dipinjamkan ke unit media pentadbiran Najib pada September 2010, dari jawatan ketika itu sebagai pengurus besar Jabatan Hal Ehwal Korporat Suruhanjaya Sekuriti sejak 2009.
Kedua-dua NSTP dan Malay Mail merupakan kumpulan media penyokong pentadbiran Najib, yang bulan lalu mengumumkan bahawa akhbar-akhbar negara ini tidak akan tertakluk kepada pengeluaran lesen tahunan – sebahagian daripada pembaharuan politik yang hendak dibawa kerajaan pimpinannya.
Dalam pada itu, ketua eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran dalam reaksinya menerusi mesej Twitter berkata “Mkini tidak dijual, mahupun kami akan membeli pegangan dalam Malay Mail.”

Advertisements

Anwar Akui Wujud Usaha Singkir MB Selangor

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengakui wujud usaha di peringkat dalaman parti itu untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurut Anwar, kepimpinan tegas Abdul Khalid mentadbir Selangor selepas pilihan raya umum 2008 menjadi punca kepada perasaan tidakpuas hati di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR.

“Yang dibangkitkan tentang cara pengurusan Menteri Besar yang agak tegas.

“Ini pandangan yang dikemukakan, dan ia telah pun kita selesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Anwar mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang dipetik daripada laman blog berhubung wujudnya memorandum yang diserahkan kepada beliau untuk memecat Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor berkata, sistem demokrasi yang diamalkan PKR membolehkan semua pihak memberi pandangan serta menegur mengenai kepimpinan parti di semua peringkat.

“Kita ambil satu pendekatan yang demokratik, ahli boleh bantah atau kemuka cadangan minta ganti sama ada ketua umum, presiden ataupunMenteri Besar.

“Tapi perkara ini telah diselesaikan dengan baik… sekarang ini kita bagi mandat penuh kepada Tan Sri Khalid sebagai MB,” katanya.