Apa Sebab Najis Berdarah?

Jangan Padang Ringan Jika Najis Berdarah.

Perut dan Usus Besar.

Najis Berdarah?

RAMAI antara kita pernah mengalami masalah pendarahan apabila buang
air besar. Gejala najis bercampur berdarah ini sebenarnya petanda
penting yang menunjukkan badan kita ada masalah kesihatan yang
perlu mendapat rawatan segera.

Pendarahan ketika buang air besar dikategorikan sebagai masalah
biasa yang berlaku dalam masyarakat kita terutama di kalangan
golongan muda pada peringkat umur produktif iaitu antara 20 hingga
30 tahun.

Masalah ini lebih kerap berlaku pada individu yang terlalu banyak
mengambil karbohidrat yang diproses, daging dan kurang makan
sayur-sayuran serta buah-buahan. Karbohidrat yang diproses bermakna
sumber karbohidrat dibersihkan daripada kekasaran luaran melalui
kaedah penulenan.

Dalam proses ini, hampir semua vitamin, galian serta serat turut
terbuang dan yang tinggal hanya kalori. Untuk menjadikan ia
berkhasiat, sesetengah produk diperkayakan dengan memasukkan semula
zat yang terbuang tadi. Antara contoh karbohidrat proses ialah roti
putih, gula atau bahan yang dibuat daripada tepung.

Inilah sebabnya bagi individu yang mengamalkan pemakanan kaya
karbohidrat proses lebih kerap mengalami masalah sistem perkumuhan
terutama jika mereka juga kurang mendapat bekalan serat, air dan
jarang bersenam.

Ada banyak punca yang boleh menyebabkan pendarahan ketika buang air
besar. Punca yang paling lazim ialah buasir dan kanser usus selain
rekahan pada kulit saluran dubur (masalah biasa dan menyakitkan,
disebabkan sembelit atau mengeluarkan najis secara paksa), polip
pada rektum dan usus besar serta ulser.

Masalah ini juga dipanggil pendarahan rektum (bahagian akhir usus
besar) kerana rektum terletak betul-betul di atas lubang dubur.
Kebanyakan pendarahan rektum pada usus besar, hujung usus besar
atau dubur. Usus besar ialah sebahagian daripada saluran
gastrointestin; iaitu laluan makanan selepas ia dicerna dalam usus
kecil.

Usus besar bertanggungjawab menyingkirkan air daripada makanan yang
tidak tercerna dan menyimpannya sehinggalah ia dibuang sebagai
najis. Rektum pula adalah bahagian terakhir usus besar (15
sentimeter dari dubur). Manakala esofagus, perut, duodenum dan usus
kecil dipanggil saluran gastrointestin atas.

Menurut Perunding Pembedahan Gastroenterologi, Dr Abdul Hamid Mat
Sain, walaupun ramai yang menganggap ia agak memalukan tetapi
gejala berbahaya tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberikan
perhatian segera bagi mengesan punca sebenar menyebabkan pendarahan.

Sikap tunggu dan lihat sebenarnya boleh menyebabkan masalah ini
bertambah berat kerana ramai yang menganggap ia bukanlah perkara
membimbangkan apabila pendarahan berhenti selepas beberapa ketika
tanpa mendapatkan sebarang rawatan.

“Warna darah juga sebenarnya berbeza dan secara umum warna ia boleh
memberikan gambaran kasar kepada punca, penyakit dan lokasi
pendarahan. Jika warna darah yang keluar bersama najis itu merah
cerah bermakna penyakit berada dekat dengan kawasan dubur (di
bahagian usus yang hampir dengan kulit). Ia mungkin disebabkan
masalah pada saluran menyebabkan salur darah bengkak dan pecah
seperti yang berlaku pada pesakit buasir.

“Jika warna darah merah gelap bermakna pendarahan berlaku pada
bahagian usus yang lebih dalam. Penyakit pada umumnya lebih
berbahaya seperti kanser usus. Ini adalah punca pendarahan rektum
yang paling lazim,” katanya.

Warna najis yang hitam dan melekit seperti tar (dipanggil melena)
pula menandakan ada pendarahan pada bahagian lebih atas (pangkal)
usus, esofagus, perut atau duodenum (usus kecil).

Melena atau najis tar ini terhasil apabila pendarahan berlaku
terlalu lama dalam usus besar yang memberikan peluang bakteria
bertindak dan menghuraikannya kepada bahan dipanggil hematin yang
berwarna hitam dan berbau sangat busuk. Inilah sebabnya apabila
berlaku pendarahan rektum kali pertama, pesakit perlu menjalani
pemeriksaan segera.

Selain warna, kuantiti darah juga boleh menjadi petanda tahap
penyakit atau masalah yang dialami seseorang. Biasanya pendarahan
rektum sederhana dikategorikan apabila banyak darah keluar setiap
kali buang air besar. Jika kuantiti ini lebih banyak, bermakna
pendarahan sudah mencapai tahap serius.

Pendarahan rektum juga boleh menyebabkan pesakit berasa lesu,
pening atau pitam khususnya bagi mereka yang mengalami pendarahan
serius. Kadang kala pesakit juga boleh mengalami simptom tekanan
darah rendah terutama apabila berdiri selepas lama duduk di tandas.

Masalahnya ramai antara kita tidak mendapat pemeriksaan awal
secukupnya. Bahkan pesakit juga enggan diperiksa kerana malu
sebaliknya hanya meminta ubat daripada doktor. Tindakan ini
sebenarnya perlu diubah kerana tanpa pemeriksaan, masalah sebenar
yang dihadapi tidak dapat diketahui.

Dr Abdul Hamid berkata, pemeriksaan saringan pertama paling minimum
ialah ujian rektum digitar yang memerlukan doctor
melihat dan
memasukkan jari ke dalam dubur pesakit. Ujian ini tidak sakit dan
hanya mengambil masa satu atau dua minit saja. Biasanya melalui
pemeriksaan ini, doktor boleh memeriksa keadaan dinding usus,
bengkak, buasir, kanser atau ketumbuhan yang tumbuh di hujung usus
besar.

Jika pendarahan bukan disebabkan buasir, ini bermakna pendarahan
berlaku di bahagian usus yang lebih dalam dan diagnosis seterusnya
perlu dijalankan kerana 50 peratus kanser usus lazimnya berlaku
pada 15 sentimeter ke dalam usus (dari dubur).

Pada peringkat awal, pesakit umumnya tidak dapat membezakan sama
ada pendarahan itu disebabkan buasir atau kanser usus kerana ramai
yang mengalami kedua-dua masalah serentak. Jika didapati ada
ketumbuhan dalam rektum, doktor akan menjalankan biopsi dengan
mengambil secebis tisu daripada ketumbuhan berkenaan untuk
diperiksa.

“Pesakit perlu membuang rasa malu kerana ia menghalang proses
rawatan. Paling penting, jika pendarahan itu disebabkan kanser, ia
boleh dirawat awal. Jika tiada buasir atau kanser, ini bermakna
pendarahan berlaku pada bahagian atas gastrointestin. Ia boleh
dipastikan melalui ujian kolonoskopi untuk mengesahkannya.

“Gejala najis berdarah juga berlaku pada kanak-kanak tetapi ia
biasanya disebabkan masalah sembelit dan bukannya kanser.
Bagaimanapun bagi orang dewasa, jangan buat tidak endah pada gejala
ini kerana ia petanda penting wujudnya masalah kesihatan,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s