Astronomi dan Ibadah

Entry kali ini kita akan membincangkan tentang ilmu astronomi (falak) dan hubungan atau perkaitannya dengan ibadah khusus dalam Islam iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji.

Sebagaimana sedia maklum, Islam adalah agama yang mudah dan memudahkan. Di samping itu ia adalah sebuah agama yang amat sesuai serta bersesuaian dengan kehendak, fitrah dan naluri hidup manusia.

Sebagai contohnya, dalam ibadah khusus, walaupun telah ditentukan hukumnya tetapi kita diberi kemudahan supaya kita dapat melaksanakannya mengikut kemampuan yang kita ada.
Islam mengajar umatnya supaya mementingkan ketepatan masa dalam segala urusan. Sebagai contoh kita ditetapkan masa dan tempoh tertentu dalam melaksanakan ibadat.

Umpamanya sembahyang lima kali sehari, puasa dalam bulan Ramadhan, mengikut hitungan tahun untuk menunaikan zakat dan mengerjakan haji pada waktu dan bulan yang ditetapkan.

Semua ini memerlukan kepada pengetahuan astronomi.

Astronomi (Ilmu Falak)

Ilmu Astronomi atau ilmu falak dikenali umum sebagai Ilmu Kaji Bintang. Perkataan Falak bererti jalan peredaran yakni peredaran bintang-bintang.

Dalam surah Yaasin ayat 40 disebut bahawa: “Matahari tiada sepatutnya mengejar bulan, dan malam tiada sepatutnya mendahului siang. Masing-masingnya beredar pada falaknya (tempat peredarannya).”

Di kalangan Sarjana Islam, ilmu bintang dibahagi kepada dua bahagian iaitu:

i. Ilmu Tabie (sains) yang membincangkan kedudukan bintang-bintang, pergerakannya dan ketentuan-ketentuan gerhana matahari dan bulan.

ii. Ilmu yang membincangkan perhubungan pergerakan bintang-bintang dengan kelahiran, kematian, kebahagiaan dan kecelakaan, hujan, kesihatan dan lain-lain.

Ilmu yang pertama tadi dinamakan Ilmu Falak (Astronomi) dan ilmu yang kedua dinamakan Ilmu Tanjim (Astrologi).

Secara umum ilmu falak boleh diertikan sebagai ilmu yang membicarakan tentang matahari dan bintang-bintang yang beredar, tentang besar kecilnya, tentang jauh dekatnya daripada matahari atau juga tentang cakerawala-cakerawala langit, tarikan-tarikannya, kedudukan pergerakannya dan lain-lain fenomena yang berkaitan.

Ibadah Khusus Dalam Islam

Ibadah khusus yang ingin dibincangkan di sini adalah solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji.

Solat dari segi syarie ialah menyembah Allah s.w.t. dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam mengikut rukun tertentu serta dikerjakan pada waktu tertentu.

Ingat kembali syarat-syarat sah untuk mendirikan solat ialah suci dari hadas kecil dan besar, suci anggota badan, pakaian serta tempat solat daripada najis, menutup aurat, masuk waktu solat dan menghadap kiblat.

Dari lima syarat-syarat sah itu, dua daripadanya perlu kepada pengetahuan ilmu falak iaitu penentuan waktu solat dan penentuan arah kiblat.

Berpuasa dalam Islam ialah menahan diri dari lapar dan dahaga dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Puasa bulan Ramadhan ialah puasa yang diwajibkan oleh Allah ke atas semua umat Islam yang cukup syarat melakukannya kerana masuk bulan Ramadhan.

Cara menentukan awal bulan Ramadhan ialah dengan melihat anak bulan Ramadhan, mencukupkan 30 hari bulan Sya’ban atau dengan hisab ahli falak.

Zakat dari segi bahasa bermaksud suci dan subur. Menurut istilah syarak ialah “mengeluarkan sebahagian dari harta benda sebagai sedekah wajib kepada mereka yang telah ditetapkan menurut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh hukum Islam”.

Hubungan zakat dengan solat adalah sangat erat kerana merupakan dua jenis ibadat yang bertali-temali di antara satu sama lain hingga tidak kurang dari 82 kali Allah menyebut secara beriring-iring dengan solat.

Zakat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu zakat harta dan zakat fitrah. Zakat harta ialah mengeluarkan sebahagian harta menurut kadar yang tertentu apabila harta itu telah sampai nisabnya atau nisab dan holnya (iaitu sempurna setahun dimiliki) kepada orang-orang yang berhak menerimanya.

Zakat fitrah pula adalah mengeluarkan sebahagian dari makanan berdasarkan ketetapan syarak, dan dibayar setelah selesai mengerjakan puasa bulan Ramadhan tiap-tiap tahun.

Jadi kita dapati ibadah zakat juga melibatkan satu tempoh dan masa yang tertentu yang memerlukan kepada pengetahuan ilmu falak.

Ibadat haji pada syara’ ialah mengunjungi Baitullah al-Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sa’ie dan wuquf di Arafah dengan menurut syarat-syarat serta menunaikan segala rukun-rukun dan wajibnya. Bulan-bulan haji ialah mulai 1 Syawal hingga naik fajar 10 Zulhijjah.

Hubungan Astronomi Dengan Ibadah Khusus

Hubungan astronomi dengan empat ibadah khusus di atas bolehlah disusun seperti berikut:

i. Penyusunan Takwim

ii. Penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah.

iii. Penentuan Arah Kiblat

iv. Penentuan Waktu Solat

Penyusunan Takwim

Penyusunan takwim dalam ibadah khusus adalah berasaskan pergerakan bulan kerana perubahan fasanya dapat memberikan petunjuk tentang julat sesuatu masa.

Dalam al-Quran ada dijelaskan penggunaan anak bulan sebagai tanda waktu, sebagaimana firman Allah swt. yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak bulan. Katakanlah, anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadah Haji” (al-Quran, 2:189)

Penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah

Secara umum terdapat empat kaedah untuk mengetahui bermulanya bulan Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah iaitu:

i. Apabila kelihatan anak bulan

ii. Laporan tentang kenampakan anak bulan

iii. Menjadikan bulan sebelumnya 30 hari

iv. Menggunakan hasil pengiraan ahli-ahli falak

Negara kita menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah. Hukum rukyah dan hisab digubal berdasarkan kaedah jamak, iaitu beramal dengan semua dalil-dalil al-Quran dan hadis serta pendapat ulamak yang muktabar. Majlis Raja-Raja Malaysia dalam mesyuarat ke-125 telah bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya Puasa (JMAPH) berkaitan dengan rukyah dan hisab sebagaimana berikut:

“Anak bulan Ramadhan dan Syawal, sekiranya tidak kelihatan kerana terlindung oleh keadaan cuaca, pada hal mengikut ahli-ahli falak anak bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli falak bolehlah digunakan.”

Seterusnya, bagi menetapkan kriteria astronomi yang memenuhi peraturan di atas, JMAPH pada bulan April 1983 telah menggunakan keputusan Persidangan Hilal Negara-Negara Islam, Istanbul (1978) mengenai syarat kenampakan anak bulan.

Walau bagaimanapun setelah digunakan selama beberapa tahun, pihak JMAPH telah membentuk Jawatankuasa Kajian Semula Penetapan Awal Ramadhan dan Syawal (JKSPARS) pada bulan Disember 1989.

Jawatankuasa ini mencadangkan syarat kenampakan anak bulan (kriteria imkanur rukyah) iaitu:

Anak bulan dianggap ada dan boleh kelihatan apabila pengiraan falak memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut:-

i. Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan tidak kurang dari 2º, dan jarak lengkung bulan ke matahari tidak kurang dari 3º.

ii. Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak.

JKSPARS juga telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengkaji kaedah penentuan tarikh Aidiladha dari menggunakan tarikh wukuf Negara Arab Saudi kepada kaedah kenampakan anak bulan tempatan dan kaedah ini telah diterima pakai sekarang.

Penentuan Arah Kiblat

Arah kiblat ialah arah yang dihadap oleh umat Islam ketika mengerjakan solat iaitu Baitullah atau Kaabah. Hukumnya jelas, berdasarkan firman Allah swt. yang bermaksud:

“Dan dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Sesungguhnya ketentuan itu benar-benar sesuatu yang hak dari Tuhanmu. Dan Allah tidak melupai apa yang kamu lakukan.” [Surah al-Baqarah: 149]

Untuk menentukan arah kiblat bagi kita yang jauh dari Kaabah, beberapa langkah yang boleh dilakukan ialah:

a. Bertanya kepada orang yang sudah mengetahuinya dan berpengetahuan, termasuklah penggunaan apa-apa peralatan yang dapat membantu.

b. Jika tiada orang berpengetahuan dan boleh dipercayai, bolehlah berijtihad dengan menggunakan arah matahari, bintang, petunjuk mata angin dan sebagainya.

Antara kaedah yang boleh diguna dalam penentuan arah kiblat ialah:

i. Menggunakan buruj-buruj bintang

Buruj bintang yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan arah kiblat ialah buruj Orion (al-Babadur).

Buruj Orion akan berada di langit Malaysia ketika waktu Subuh pada bulan Julai dan kelihatan tinggi di langit pada waktu tengah malam pada bulan Disember. Pada bulan Mac, buruj ini akan berada di tengah-tengah langit ketika waktu Maghrib.

ii. Fenomena Istiwa Matahari atas Kaabah

Arah kiblat yang tepat diperoleh apabila berlaku istiwa matahari atas Kaabah iaitu matahari berada tepat di titik zenith kaabah. Ia berlaku dua kali setahun iaitu apabila sudutistiwa matahari bersamaan dengan latitud Kaabah.

Menurut hisab, istiwa matahari di atas kaabah berlaku pada 28 Mei lebih kurang pukul 5.16 petang waktu Malaysia dan pada 16 Julai lebih kurang pukul 5.28 petang pada setiap tahun.

iii. Pengiraan arah kiblat dan penandaan

Jam Suria
Penentuan Waktu Solat

Firman Allah swt. yang bermaksud:

“… Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum terbit matahari (Subuh) dan sebelum terbenamnya (Asar dan Zuhur), dan bertasbih pulalah di waktu-waktu malam hari (I), dan hujung siang (Maghrib) supaya kamu merasa senang…” ([Taha: 130]

Waktu solat menggunakan kedudukan matahari harian sebagai rujukan.

a. Waktu Zuhur

Waktu Zuhur bermula apabila keseluruhan bulatan matahari telah melepasi meridian tempatan atau disebut gelincir matahari atau zawal. Menurut ahli astronomi, tempoh masa di antara waktu istiwa dengan waktu Zuhur ialah 1 minit 4 saat.

b. Waktu Asar

Waktu asar bermula apabila ukuran panjang bayang sesuatu tiang sama dengan panjang tiang ditambah pangjang bayang ketika istiwa.

c. Waktu Maghrib

Waktu Maghrib bermula apabila keseluruhan bulatan matahari terbenam di ufuk ketara tempatan. Ufuk ketara adalah ufuk yang dipengaruhi oleh ketinggian sesuatu tempat. Bagi tempat yang ketinggiannya kurang dari 100m dari paras laut , jarak zenith matahari ketika terbenam adalah 90º 50’.

d. Waktu Isyak

Selepas terbenam, matahari akan berada semakin rendah di bawah ufuk. Nilai sudut kedudukan matahari (sudut turunan) yang diguna dalam menentukan waktu solat Isyak di Malaysia (kecuali negeri Kelantan) ialah 18º bawah ufuk bagi sesuatu tempat. Negeri Kelantan menggunakan sudut turunan 17º.

e. Waktu Subuh

Nilai sudut kedudukan matahari yang diguna dalam menentukan waktu solat Subuh di Malaysia ialah 20º bawah ufuk bagi sesuatu tempat.

Penutup

Ilmu astronomi merupakan ilmu yang mengkaji tentang perjalanan badan-badan cakerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang-bintang.

Segala aktiviti yang menunjukkan perhubungan antara manusia dengan alam akan melibatkan unsur-unsur ilmu astronomi.

Dari segi kepentingan ilmu, ilmu astronomi tergolong dalam ilmu fardhu kifayah kerana keperluannya dalam membantu kesempurnaan ibadat dan kesejahteraan manusia.

Para ilmuan barat sependapat bahawa perkembangan ilmu astronomi dalam Islam didorong oleh niat beribadah.

Ibadah solat lima waktu yang diperoleh dari peristiwa Isra’ Mi’raj, penentuan arah kiblat serta penentuan awal bulan Islam telah memberi warna kepada perkembangan ilmu astronomi sehingga disebut sebagai astronomi Islam (falak).

Fenomena tersebut kita dapat lihat bahawa Islam tidak memisah antara agama dan ilmu pengetahuan. Ajaran Islam dan ilmu pengetahuan saling melengkapi dalam kehidupan manusia.

Al-Quran mengungkapkan bahawa Islam mengajak manusia mempelajari alam semesta dan segala isinya sebagai wujud ibadah.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s